“Andai Zulfarhan Masih Hidup, Saya Nak Sangat Minta Maaf”
Tempoh dua tahun yang dilalui oleh Muhammad Akmal Akif Alias berdepan kes bunuh melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, ternyata bukan sesuatu yang mudah meskipun dia didapati tidak bersalah.
Malah, dia masih diselubungi rasa takut dengan tanggapan masyarakat terhadapnya dan apa yang berlaku sangat memberi kesan pada dirinya dan keluarga.
BACA: 18 Pelajar UPNM Diarah Bela Diri Kes Bunuh Zulfarhan
“Pelbagai kecaman dilemparkan, malahan segelintir masyarakat memandang serong serta mempertikaikan keputusan saya dibebaskan secara mutlak hingga menyebabkan saya masih takut-takut untuk berjumpa dengan orang di luar.
“Buat masa sekarang, saya hanya berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja. Apa-apa pun, saya bersyukur dikelilingi mereka yang menyayangi saya dan sentiasa positif,” katanya kepada mStar Online.
Akmal mendedahkan dia terpaksa berbohong mengenai tempat pengajiannya dan memadan gambar-gambar di media sosial gara-gara komen negatif netizen.
“Kalau jumpa sesiapa yang tidak mengenali saya, saya akan berbohong yang saya belajar di tempat lain.
“Kalau sebut saya belajar di UPNM, mesti mereka akan tanya pasal kes itu. Jadi saya malu sangat-sangat. Tapi yang mana kenal, mereka tahu saya macam mana dan mereka memberi sokongan moral.
Dalam pada itu, Akmal berkata hubungannya dengan arwah Zulfarhan amat baik meskipun mereka berlainan pengajian. Malah, Akmal turut meluahkan jika arwah masih dia mahu memohon maaf kerana gagal menyelamatkannya.
“Dia tiada apa-apa masalah dengan saya. Bagi saya arwah memang baik. Walaupun kami lain-lain pengajian tapi bila subjek kami satu kelas dia banyak tolong saya.
“Seandainya arwah masih hidup saya nak sangat minta maaf dekat dia sebab tak dapat nak selamatkan dia. Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia dekat sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, Insyallah,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah, membebaskan Muhammad Akmal daripada tuduhan mencederakan Zulfarhan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pening Kepala Pekena Butter Beer?
- SUMBER
- mStar Online