Serunding merupakan makanan yang tidak asing lagi bagi rakyat malaysia, ada sesetengah tempat jadikan serunding sebagai hidangan wajib bila hari raya. Cukup sempurna bila makan dengan lemang. Tapi apa yang membuatkan serunding begitu istimewa?

Nak buat serunding bukan suatu perkara yang mudah sebenarnya, kena teknik yang betul, bahan-bahan yang sesuai, dan kena tekun sebab proses nak buat serunding perlu hampir 4 jam untuk sempurna. Kalau tak jadi rendang daging lah jawabnya.

Siapa Pencipta Serunding?

Sebelum tu mari kita selidik sejarah dan asal usul serunding. Sebenarnya masih tak ditemui siapa pencipta sebenar serunding, tapi telah diketahui ramai serunding telah tercipta di negeri Kelantan iaitu di Kampung Laut, Jajahan Tumpat.

Di Kampung Laut ini ada hampir 50 keluarga yang mengusahakan serunding secara komersial. Dikatakan mereka mewarisi pembuatan serunding secara turun-temurun.

Tapi yang paling terkenal adalah serunding Allahyarham Mek Som Ismail atau dikenali sebagai Mak Som Pah Som Lotri. Beliau dipercayai pelopori dalam penciptaan serunding di Kampung Laut. Dikatakan setiap pengusaha serunding di Kampung Laut ada petua masing-masing bagi menjadikan serunding sempurna, enak dan tahan lama.

Salah satu petua yang diamalkan adalah dengan memasak santan lebih lama sehinga mendidih. Serunding juga perlu dimasak dengan menggunakan dapur kayu api supaya ia betul-betul kering. Setiap pengusaha serunding ini ada “secret rescipe” serta petua masing-masing.

Serunding Boleh Bertahan Sehingga 50 Tahun?

Dalam pembuatan serunding, daging tempatan atau import akan direbus kemudian dicarikkan halus, dicampurkan dengan ramuan seperti bawang putih, bawang besar, lada kering dan santan mengikut kemahiran orang yang membuatnya.

Kemudian serunding akan dikacau tanpa henti selama hampir 4 jam dengan api sederhana besar bagi memastikan serunding betul-betul kering.

Bila dah siap serunding akan dibungkus dalam bekas kedap udara supaya boleh bertahan lama bila dikomersialkan. Bila kita tengok cara pembuatan, teknik serta petua yang diamalkan tak mustahil serunding mampu bertahan sehingga 50 tahun.

Serunding ada banyak jenis yang kita jumpa. Selain serunding daging ada juga serunding ikan bilis, ayam dan ikan. Kini serunding bukan saja dimakan ketika raya tapi boleh dimakan bila-bila masa disebabkan serunding yang telah dikomersialkan di seluruh negara bahkan di luar negara.

Tapi Betul Ke Ejaan Yang Kita Guna Untunk Serunding?

Ejaan yang betul bagi ‘serunding’ ialah ‘serondeng’. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘serondeng’ diberikan keterangan sebagai sejenis makanan yang dibuat daripada kelapa yang dikukur. Manakala dalam keterangan lain pula ‘serondeng’ juga dijelaskan sejenis makanan yang tahan lama dibuat daripada siatan daging, udang atau ikan yang dihancurkan, kemudian dimasak bersama-sama santan serta rempah sehingga kering.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Random Rabu: Serunding Cheese Roll

Sumber: Dewan Bahasa Dan PustakaUtusan