Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah pepatah sesuai untuk menggambarkan perjalanan hidup seorang atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Jika dahulu dia hanya bekerja di gerai nasi lemak, kini dia dikenali di mata dunia selepas menjuarai larian lelaki 100 meter di Kejohanan Paralimpik Rio de Janeiro 2016.

BACA: Hidangan Ini Buat Wanita Malaysia Menang Masterchef Australia

Kisah mengenai Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dek Wan ini dikongsi oleh seorang pengguna laman sosial Twitter, @WahyuYordan. Tweet tersebut mendapat 13,000 retweet di laman sosial tersebut.

Menurutnya, bakat Dek Wan dicungkil oleh seorang jurulatih dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis Affizam Amdan, 46 tahun.

“Encik Affizam merupakan seorang yang rendah diri, menunduk seperti padi berisi, yang telah menggilap jaguhan kampung Perlis,” ujarnya.

Sebenarnya, Dek Wan dihantar oleh ayahnya untuk latihan kemahiran asas perabot di Bengkel Batu Murni, Batu Bertangkup, Cuping, Perlis.

Selain itu, ayahnya juga berharap dia dapat belajar untuk berdikari sepanjang menjalani latihan tersebut di sana.

Affizam berulang alik mengambil Dek Wan di bengkel pergi ke stadium selama dua tahun untuk berlatih dan usahanya membuahkan hasil apabila Dek Wan menunjukkan prestasi yang semakin bagus.

Malah, turut dikongsikan beberapa gambar menunjukkan tempat tinggal yang didiami Dek Wan semasa dia bekerja sambil berlatih untuk mencapai impiannya menjadi juara balapan.

Selain itu, Wahyu turut menceritakan mengenai insan lain yang juga membantu Dek Wan pada masa dahulu iaitu Chuah Heng Oon, 57 tahun.

Heng Oon menghadiahkan sepasang kasut sukan baru kepada Dek Wan setelah mengetahui anak muda itu sedang menjalani latihan untuk Kejohanan Sukan Para ASEAN 2009.

Setelah Dek Wan pulang dari Kejohanan Paralimpik di Rio de Janeiro, dia menemui Heng Oon di kampung halamannya kerana lelaki itu pernah menolongnya ketika dia tidak dikenali lagi beberapa tahun dahulu.

Siapa sangka, seorang insan yang menghidap penyakit cerebral palsy sebenarnya mempunyai kelebihan atau bakat yang tidak semua orang ada. Malah, dia mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Kisah Dek Wan ini sesuai dijadikan inspirasi supaya anda lebih bersemangat untuk berjaya di dalam bidang yang diceburi. Tiada yang mustahil jika anda berusaha untuk mencapai impian anda kerana usaha adalah tangga kejayaan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Bubur Dibalik Tak Tumpah? | Bandung Part 03