Ini Kronologi Tragedi Ragut Nyawa 6 Anggota Bomba
Hari ini negara digemparkan dengan satu tragedi yang menyayat hati, rata-rata rakyat Malaysia terkejut dan sedih di atas kematian 6 anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam satu operasi mencari dan menyelamat SAR malam tadi.
Seramai enam anggota terbabit lemas ketika terlibat dalam dalam operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana. Puchong Selangor.
Anggota terbabit, Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 ; Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, ketika kejadian keenam-enam anggota berkenaan berjaya dinaikkan ke darat namun disahkan meninggal dunia.
BACA: Bapa Terkilan Misi Cari Anak Ragut Nyawa 6 Anggota Bomba
Kronologi tragedi 6 anggota bomba lemas
6.30 Petang
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lombong Taman Putra Perdana selepas menerima panggilan kecemasan berhubung seorang remaja lemas.
8.55 malam
Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), empat daripadanya adalah dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dan dua dari Shah Alam tiba di lokasi mencari dan menyelamat (SAR).
9.15 malam
Pasukan PPDA selesai menyiapkan kelengkapan dan mula turun untuk selaman di lombong bagi mencari mangsa.
-Mereka mengikat tali panjang antara satu sama lain.
-Dari tebing dihulurkan tali perlahan lahan semasa penyelam merapatkan diri di tempat mangsa jatuh.
-Oleh kerana arus aliran air lombong kuat, tiba-tiba ia menarik seorang demi seorang ke dalam arus deras berkenaan.
9.45 malam
Anggota penyelamat yang berada di tebing berusaha lebih 30 minit untuk menyelamatkan mereka dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR)
9.50 malam
Pasukan perubatan dari Putrajaya yang berada di tempat kejadian mengesahkan enam anggota bomba meninggal dunia akibat lemas di tempat kejadian
11.30 malam
Semua enam jenazah anggota bomba berkenaan dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Kematian mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis.
Dalam pada itu, pengorbanan 6 anggota ini dianggap sebagai wira oleh rakyat Malaysia. Rata-rata netizen di media sosial meluahkan rasa sedih beserta ucapan takziah pada keluarga mangsa yang terlibat.
Satu entri yang dimuat naik oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri dalam laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, beliau menjelaskan bahawa 6 anggota yang terkorban sebagai mati syahid akhirat.
Berikut adalah ulasan dari beliau:
Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas. Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (653)
Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban. Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin.
Atas asas inilah, berhimpun pada kami perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, yang kami sifatkan luar biasa.
Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.
Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya. Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha Allah akan datang bantuan daripada-Nya.
Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.
Kepada kerajaan Malaysia, kami syorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka. Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita merafakkan doa agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah.
Al-Fatihah buat mereka. Sekali lagi, takziah buat keluarga.
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
4 Oktober 2018 bersamaan 24 Muharram 1440 Hijrah.
MB Arah Lombong Putra Perdana Ditutup, Sumbang RM20 Ribu Untuk Setiap Keluarga Anggota Bomba Terkorban
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menerusi satu kenyataan mengarahkan lombong yang meragut nyawa enam anggota bomba dan masih mencari seorang remaja hilang di Puchong ditutup serta-merta selepas misi mencari dan menyelamat remaja hilang selesai.
Sementara itu, kerajaan Selangor menerusi satu kenyataan akan memberi sumbangan RM20,000 kepada keluarga setiap anggota bomba yang maut dalam operasi SAR di Puchong.
Operasi mencari dan menyelamat akan disambung pagi ini bagi mencari mayat remaja lemas yang masih belum ditemui.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Ini Lubuk Orang Pantai Timur Pekena Air Asam Perut
Sumber: HarianMetro, muftiwp.gov.my