Ini Nilai Murni Penonton Bola Malaysia Perlu Amalkan
Biasanya jika menonton perlawanan bola sepak di stadium, ramai penonton gemar membuang sampah merata-rata hinggakan orang lain ‘sakit mata’ memandangnya.
Namun, sejak kebelakangan ini terdapat beberapa anak muda yang masih mempunyai nilai-nilai murni di dalam diri mereka dengan mengutip sampah secara sukarela selepas tamat perlawanan bola sepak sempena Sukan SEA.
BACA: 7 Fakta Penjaga Gol Futsal Cantik
Kelihatan sebahagian penyokong Harimau Malaya mengutip sampah secara sukarela selepas perlawanan tamat antara pasukan Malaysia dengan Myanmar di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Malaysia memenangi perlawanan semalam dengan keputusan 3-1 dan stadium turut dipenuhi ribuan penyokong tempatan serta penyokong negara Myanmar.
Selesai perlawanan tersebut, ramai yang berpusu-pusu keluar namun beberapa anak muda kelihatan sibuk memegang plastik sampah sambil mengutip sampah yang ditinggalkan oleh penonton yang hadir.
Alangkah bagusnya jika semua penonton mempunyai kesedaran yang sama seperti anak-anak muda ini. Pasti lebih cepat mereka dapat membersihkan kawasan stadium seterusnya dapat meringankan beban kepada pengutip sampah.
Tindakan golongan anak muda itu mendapat pelbagai respon daripada pengguna laman sosial Facebook yang menyifatkan rakyat Malaysia suka buang sampah merata sehingga wujud pihak sukarelawan untuk mengutip sampah yang ditinggalkan oleh penonton.
Namun, ada juga pihak yang menyokong tindakan mereka ini dengan menyatakan mereka antara rakyat Malaysia yang bertamadun dan mengucapkan syabas kerana mempunyai nilai-nilai murni dalam diri mereka.
Semoga lebih ramai anak muda mempunyai kesedaran seperti mereka dan semoga kita semua dapat berubah menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Mampukah Kami Habiskan Seekor Kambing?
- SUMBER
- FB HARIAN METRO