Ini Punca Kemusnahan Dahsyat Gempa Bumi Di Palu
Pada Jumaat lalu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 Skala Richter telah melanda Sulawesi, Indonesia yang turut mengakibatkan tsunami di kawasan pantai Palu.
Berdasarkan video daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, tsunami setinggi 3 meter itu berlaku 5.27 petang waktu Indonesia Timur, kira-kira 22 minit selepas gempa kuat itu menggoncang wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.
Tsunami dengan ombak setinggi 18 kaki (5.48 meter) pada Jumaat ‘mencuci’ seluruh kawasan berpantai di Sulawesi dengna daerah Palu dan Donggala menerima kesan yang paling teruk.
Gempa bumi dan ombak tinggi berkenaan meragut sehingga kini 1,200 nyawa di pulau berkenaan yang didiami sekitar 17 juta orang.
Bukan sahaja meragut korban nyawa yang tinggi, bencana yang sama juga turut memusnahkan harta benda dengan beribu-ribu premis kediaman, hotel dan perniagaan yang ranap sama sekali.
Tanah menjadi cecair punca kemusnahan dahsyat Palu
Proses pencecairan, yang mana pihak berkuasa Indonesia berkata menjadi faktor memusnahkan ribuan rumah di dalam dan sekitar bandar terletak di Sulawesi Tengah di sini ketika gempa bumi Jumaat lalu, adalah satu daripada kesan paling menghancurkan akibat bencana alam itu.
Sebagai tambahan menyebabkan tanah mengalir seperti cecair, dalam kes ini menjurus kepada banjir lumpur, ia juga menjadikan tanah merosot dan mendap.
“Apabila gempa berlaku, lapisan di bawah permukaan bumi menjadi berlumpur dan tidak stabil. Aliran lumpur yang banyak itu telah mengheret kompleks perumahan di Petobo yang menjadikan ia kelihatan seperti ditelan bumi. Kami anggarkan terdapat 744 unit di kawasan itu,” kata jurucakap agensi mitigasi bencana nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.
Rakaman video amatur turut memaparkan pokok, bangunan dan menara komunikasi ‘diheret’ tanah runtuh tersebut.
Difahamkan, fenomena tanah menjadi cecair itu biasanya berlaku di tanah yang ditebus guna selain kawasan cetek berhampiran laut atau sungai juga terdedah dengan ancaman itu.
“Tanah buatan manusia hanya menjadikan zarah tanah tidak stabil berbanding jika ia terbentuk secara semula jadi,” kata pensyarah di Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Universiti Kyoto, Toshitaka Kamai.
Antara faktor utama tsunami Sulawesi
Sistem amaran tidak mencukupi, kekurangan pendidikan bagaimana menghadapi gempa bumi dan keadaan teluk sempit yang membantu memperkuat ombak tsunami dikenal pasti sebagai faktor menyebabkan kesan bencana di Sulawesi bertambah parah.
“Tiada maklumat mengenai tsunami direkodkan stesen pemantau aliran pasang surut di Palu kerana ia tidak berfungsi,” kata pakar tsunami Indonesia, Widjo Kongko.
Stesen itu memeriksa perubahan aliran arus dan sepatutnya dapat mengesannya jika ombak besar menuju ke bandar itu.
Selepas gempa berlaku, agensi geofizik Indonesia yang memantau aktiviti seismik, mengeluarkan amaran tsunami tetapi menarik balik amaran tidak lama selepas itu.
Pakar lain, bagaimanapun, berkata jika sekalipun ia berfungsi, penduduk masih tidak ada banyak masa untuk lari ke tempat selamat kerana ombak itu hanya dikesan dekat pantai.
Usaha memperbaiki sistem dihantui masalah termasuk gagal menyelenggara peralatan hinggalah birokrasi.
Selepas bencana gempa dan tsunami pada 2004 dekat pulau Sumatera menyebabkan 220,000 maut di Asia, 22 boya (pelampung) amaran awal dipasang sekitar perairan Indonesia bagi mengesan tsunami.
Tetapi, pegawai mengakui mereka tidak lagi berfungsi selepas menjadi mangsa vandalisme selain kekurangan dana untuk senggaraan.
Pakar lain pula percaya tsunami kali ini berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut selepas gegaran berlaku.
Bentuk geografi unik Palu tidak membantu, kata mereka, kerana tsunami biasanya meluncur laju apabila melalui selat sempit dekat kota itu.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Restoran Steamboat Wajib Datang Di Putrajaya! 😍
Sumber: BeritaHarian, SinarHarian