Sejak turun temurun lagi, kita tahu bahawa madu merupakan antara penawar terbaik bagi pelbagai jenis penyakit, malah kehebatan madu turut dinyatakan dalam Al-Quran.

Terdapat banyak jenis madu yang boleh kita ketemui, samada madu kelulut, madu ternak dan juga madu pokok Tualang. Tapi tahukah anda proses bagi menuai madu Tualang sangat sukar dan bilangan mereka yang menceburi bidang ini makin berkurangan.

Lebah Tualang merupakan sejenis lebah madu paling besar

Lebah Tualang atau nama saintifiknya Apis dorsata merupakan sejenis lebah madu bersaiz paling besar dan gemar membuat sarang di pokok tualang.

Lebah tualang akan terbang bagi mendapatkan nektar dengan anggaran 5000 bunga-bungaan setiap hari. Setiap ekor pula akan mengumpul sehingga 20 gram nektar untuk dibawa ke sarang.

Lebah Tualang menjadi agen pendebunga bagi hampir 50 peratus pokok di hutan hujan tropika menjadikan ia amat penting kepada eko-sistem hutan. Lebah tualang bersifat defensif dan tidak pernah diternak kerana sarangnya yang bersifat terbuka.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana lebah Tualang mendapat namanya? Perkataan Tualang berasal dari sejenis spesis pokok di dalam hutan nusantara.

Pokok Tualang merupakan sejenis pokok saka yang tumbuh di hutan Malaysia,Indonesia dan beberapa kawasan di India. Di Semenanjung Malaysia pokok tualang banyak terdapat di utara Semenanjung seperti di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu sahaja.

Oleh kerana lebah jenis Apis Dorsata suka ber’koloni’ di dahan pokok yang sangat tinggi dengan ciri dahan pokok yang licin (tidak mengelupas), tinggi, kuat dan besar.

Sarang lebah tualang berkonsepkan sarang terbuka (open nest). Ia dibina di kawasan terbuka jauh dari tanah seperti pokok, di bawah naungan gua, atau kadang-kala bangunan dengan jarak 3 hingga 25 meter dari atas tanah.

Sarang matang berukuran 2 meter panjang dengan jumlah mencecah 50,000 ekor lebah pekerja. Hampir tiga suku populasi lebah pekerja menjaga sarang.

Pemburu ’emas’ pokok Tualang

Sarang lebah yang terdapat pada pokok Tualang. Imej dari AFP

Walaupun tradisi memburu madu lebah Tualang semakin berkurangan namun masih ada sekumpulan penduduk kampung yang masih meneruskan aktiviti ini yang telah dilakukan mereka sejak turun-temurun lagi.

Mereka yang dikenali sebagai pemburu madu ini berasal dari sekumpulan penduduk kampung yang akan meredah kawasan hutan tebal yang jauh pedalaman setiap tahun untuk mencari madu yang sangat jarang ditemui, tersembunyi disebalik pokok-pokok tualang yang menjulang tinggi.

Namun amalan generasi turun-temurun ini kini menghadapi pelbagai ancaman, dari masalah kemusnahan alam sekitar, jumlah lebah yang semakin berkurangan sehinggalah kurangnya minat di kalangan remaja.

Para pemburu tegar ini tetap bersikap optimis, bagi mereka, tiada yang lebih bermakna daripada memanjat pokok setinggi 250 kaki untuk mendapatkan madu manis yang dibawa oleh lebah, yang berkeliaran bebas di kawasan hutan bunga eksotik.

Musim mendapatkan madu di utara Malaysia, Hutan Ulu Muda, bermula dari bulan Februari sehingga bulan April, apabila lebah madu gergasi tiba dari bahagian lain di Asia untuk membuat sarang di atas pokok-pokok kanopi hutan hujan yang menjulang tinggi.

Di petik dari temubual dari agensi berita AFP seorang pemburu madu Tualang Abdul Samad Ahmad, 60, yang telah menuai madu dengan cara ini lebih daripada 20 tahun.

Dalam pengembaraan baru-baru ini, Abdul Samad bersama dengan enam rakan lainnya telah mengembara jauh ke dalam hutan, menaiki dua buah bot kecil dan berlayar merentasi tasik untuk mencapai pokok tualang tersebut.

Mereka kemudian memaku dahan-dahan kayu sehingga menjadi sebuah tangga sementara, menggantikan tangga lama yang dihasilkan pada tahun sebelumnya.

Seorang pemburu madu Tualang Zaini Abdul Hamid membina tangga bagi memanjat pokok Tualan. Imej dari AFP

Apabila waktu malam menjelma, dengan memakai pakaian berlapis dan jaket tebal, kumpulan itu akan menyalakan api dengan menggunakan tumbuhan menjalar untuk mencipta obor asap.

Mereka memanjat pokok dan menghempas obor tersebut ke dahan pokok apabila menghampiri sarang lebah berkenaan. Percikan bara api dapat terlihat dari bawah.

Sementara rakan lainnya (yang berada di bawah) memanggil lebah-lebah tersebut: “Turunlah, si manis hitam, turunlah.”

Kemudian sekumpulan lebah pun meluru ke luar, mengejar percikan cahaya itu, memberikan pemburu masa yang berharga untuk memotong sarang lebah tersebut dan mengisi baldi mereka dengan potongan sarang lebah.

Sekumpulan lelaki itu melakukan kerja-kerja mereka sepanjang malam, dengan pergerakan yang perlahan di sekitar sarang lebah tersebut. Mereka akan hanya berhenti melakukannya sebelum subuh menjelma, setelah mengumpul 43 kilogram madu.

Pemburu-pemburu berkenaan telah disengat banyak kali namun masih meneruskan pekerjaan mereka. Bagi mereka, mereka sudah biasa dengan sengatan itu.

Salah seorang daripada kumpulan itu, Zaini Abdul Hamid, berkata bahawa dia dan rakan-rakannya tidak begitu menyedari tentang sebarang bahaya atau kematian yang disebabkan oleh pekerjaan mereka yang berisiko ini,

“namun jika anda berada di tempat yang salah, pada masa yang salah, lebah-lebah tersebut akan menyengat anda sehingga badan anda menjadi bengkak.” Zaini Abdul Hamid ketika dipetik oleh berita AFP.

Permintaan bagi madu tualang ini melebihi daripada bekalannya yang begitu terhad. Hasil daripada madu-madu ini akan dibahagikan sama rata, yang mana akan dijual di kampung mereka atau kepada peniaga-peniaga yang berada di luar bandar.

Tiada seorang pun yang menyertai ekspedisi ini berusia di bawah 45 tahun, di mana beberapa orang daripada mereka berusia 60-an dan mereka berkata bahawa golongan muda yang berada di kampung mereka tidak berminat terhadap pemburuan madu ini.

Pemburu-pemburu itu berkata bahawa ia adalah suatu pemandangan biasa di mana empat atau lima kumpulan dari sesebuah kampung menuai madu lebah dari pokok tualang pada tahun 1960-an, namun pada hari ini, ia jauh daripada sedikit.

Bilangan lebah di hutan Ulu Muda ini juga kelihatan susut dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan aktiviti pembalakan sering dilaporkan dan ada yang menyalahkan pemusnahan habitat alam semula jadinya.

Masalah ini mungkin dilihat secara global. Para pakar telah memberi amaran untuk sekian lama mengenai penurunan populasi lebah madu di seluruh dunia, menyalahkan perubahan iklim dan penyakit serta pemusnahan habitat.

Tiada kajian komprehensif dilakukan terhadap populasi lebah di Ulu Muda, tetapi Makhdzir Mardan, seorang pakar lebah dari Universiti Putra Malaysia, mengatakan bahawa pada ekspedisi hutan yang dijalankan pada tahun 1993,

Keika itu beliau telah menemui 128 sarang lebah di atas pokok, sementara kini anda hanya boleh menemuinya sekitar 40 sarang lebah.

Khasiat madu Tualang

Madu Tualang menawarkan 2 jenis madu lebah asli hutan yang sangat berkualiti untuk keperluan penyembuhan dan pengubatan atau sebagai minuman multi-vitamin harian yang sangat berkhasiat iaitu :-

  • Madu Lebah Asli Hutan Segar, di mana madu lebah dari hutan yang terus disaring dan dikemaskan dengan botol (mengandungi kadar peratus air 18%-22%).
  • Madu Lebah Asli Hutan Sejat, di mana madu lebah dari hutan yang terus disaring dan ditingkatkan kualitinya dengan mengurangi kadar air madu lebah sehingga sampai ke peringkat bebas peragian (yeast fermentation) iaitu 15%-17%.

Dalam dunia moden hari ini pelbagai kajian dan konvensyen terbaru diadakan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai khasiat di sebalik cairan kental manis yang dihasilkan lebah ini.

Dr. Susan Percival dari Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, Amerika Syarikat (AS), pernah menyebut dalam beberapa siri tulisannya madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Ia juga mengandungi zat-zat seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium, sodium dan zink.

Madu turut mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3. Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang diperoleh lebah.

Madu berperanan sebagai antioksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit-penyakit kronik.

Dalam satu kajian lain, pakar mikrobiologi Amerika, Richard F. Stier mendapati komposisi unik kandungan madu lebah juga boleh menjadi agen antimikrob untuk merawat kulit yang cedera akibat kebakaran atau luka.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Penangan CEndol Durian Di Gombak & Makan Percuma?

Sumber: Mediapermata