Dengan jalan sesak di Kuala Lumpur, pernah tak anda terfikir alangkah bagusnya jika ada teksi helikopter di tengah bandar yang sibuk?

Dengar macam agak mustahil, namun ianya akan menjadi kenyataan, di mana anda boleh menempah perkhidmatan teksi helikopter melalui dalam talian.

Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan helikopter pelancongan dan komersial, Heli Outpost Sdn Bhd antara yang pertama melakukan perkhidmatan tersebut.

Aplikasi ‘Heli Taxi’ itu kini sedang dibangunkan dan dijangka siap dalam masa tiga bulan lagi untuk memudahkan pelanggan menempah perkhidmatan mereka.

Idea untuk menyediakan Taxi Helikopter di ibu kota Kuala Lumpur dicetuskan oleh seorang anak muda berusia 29 tahun Faiz Fahmi Sazali yang berasal dari Pulau Langkawi.

“Aplikasi ini menawarkan dua perkhidmatan iaitu ‘Helicopter Tour’ iaitu tempahan untuk mengelilingi Pulau Langkawi dan ‘Helicopter Taxi’ yang akan menerbangkan pelanggan terus ke destinasi yang dikehendaki seperti dari Alor Setar ke Ipoh,” katanya kepada Bernama.

Tambah Faiz, syarikatnya kini mempunyai 11 helikopter yang boleh memuatkan empat hingga lima penumpang. Tiga helikopter ditempatkan di Langkawi manakala baki berpangkalan di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Port Dickson.

Mula beroperasi sejak tahun 2009, tahun lalu, syarikat itu mencatatkan jumlah penumpang tertinggi  iaitu 18,000 penumpang menggunakan perkhidmatan mereka.