Kafe Harry Potter Dibuka Di Kelantan
Siapa sahaja pasti mengenali watak Harry Potter dan rakan-rakannya yang bersekolah di Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry dan mengikuti setiap cabaran yang dihadapi mereka baik di dalam novel mahupun siri filem yang mendapat sambutan ramai di serata dunia.
BACA: Logikkah Harga Kasut Wanita Paling Mahal Ini?
Bagi peminat Harry Potter pasti mempunyai impian untuk berada di tempat yang bertemakan watak ini seperti taman tema The Wizarding Word of Harry Potter, Universal Studio Hollywood ataupun lokasi pengambaran seperti di Scotland mahupun London.
Bagi yang mahu pergi ke sana bukannya murah jadi apa kata anda berkunjung ke Hedwig Books & Cafe yang terletak berhadapan dengan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian Kelantan.
Kafe bertemakan Harry Potter ini baru sahaja dibuka oleh pemiliknya, Puan Raiha di Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan kerana minat pemiliknya terhadap buku dan watak kegemaran ramai ini.
Kafe yang berkonsepkan book cafe ini diilhamkan oleh Puan Raiha, semenjak dia belajar lagi di San Diego, California setelah tertarik dengan beberapa book cafe yang ada di sana ketika itu.
Berpengalaman sebagai seorang pendidik, dia merasakan perlunya ada suatu tempat untuk masyarakat sekeliling untuk duduk bersantai menikmati hidangan sambil membaca buku dan memilih tema Harry Potter untuk kafe pertamanya ini.
Menurut Vulcan Post, Puan Raiha telah menggunakan wang simpanannya berjumlah RM200,000 untuk merealisasikan tema Harry Potter untuk kafenya ini dengan mengubah suai ruang dalaman agar mood filem dan novel itu dapat dirasai.
Bahkan dia juga menyediakan perhiasan seperti mufflers, kayu sihir, jubah Hogwarts dan peralatan-peralatan lain yang berkait dengan cerita terkenal itu.
Dari segi menu pula, kafe ini menyediakan pelbagai jenis kopi dan minuman-minuman lain yang memenuhi citarasa orang ramai. Tidak dilupakan kafe ini turut menyajikan pelbagai kek dan juga hidangan pastri.
Buat masa ini kafe ini beroperasi di Kelantan sahaja dan mungkin pemiliknya akan menimbangkan sama ada untuk beroperasi di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
- SUMBER
- Vulcan Post