Nampaknya selepas ini mungkin tiada lagi kek ‘biasa’ yang kita selalu lihat di majlis perkahwinan dan pasti ramai yang akan bertukar selera memilih kek ‘indomie’ untuk dijadikan sebagai kek kahwin.

Jika anda peminat mi segera atau mungkin perkahwinan anda bertemakan ‘kenangan sewaktu di universiti’, ini adalah kek yang sesuai untuk majlis kahwin anda.

Sebut saja Indomie, pasti ramai yang tahu ianya antara jenama mi segera popular dan tiada siapa dapat menolak kesedapan mi gorengnya. Di Indonesia, kek Indomie kini menjadi trend dan pilihan pengantin sebagai kek perkahwinan mereka.

Idea kek Indomie ini diperkenalkan oleh Tot.aw, sebuah restoran di Kelapa Gading, Indonesia. Sebelum ini, restoran mereka popular dengan Donut Indomie dan banyak lagi menu lain berasaskan Indomie.

Lebih menarik, anda boleh meminta untuk meletakkan apa saja topping untuk dihiasi pada kek Indomie. Kek tersebut yang kini viral di Indonesia menjadi bualan ramai di media sosial dimana rata-rata netizen mahukan kek tersebut sebagai kek kahwin mereka.

Jika anda tak sukakan hiasan bunga, boleh letakkan topping keju dan kepingan ayam pada kek Indomie anda. Siapa tahu, mungkin kek Indomie akan jadi trend di Malaysia pula selepas ini.