Ketika rakyat Malaysia menantikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memuat naik status di Twitter menegaskan akhirnya rakyat Malaysia sudah bersuara.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Rakyat Malaysia sudah bersuara. Dan suara rakyat adalah keramat.

“Selamat maju jaya, Malaysia dan terima kasih kepada semua pengundi kerana melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Posting tersebut dimuat naik ketika Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir mendakwa HARAPAN sudah mendapat jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Menurut bekas perdana menteri itu lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan untuk mengumumkan keputusan rasmi dengan enggan menandatangani borang 14.

Khairy  yang juga Menteri Belia dan Sukan, masih mengekalkan kerusi Rembau dengan 36,096 undi, majoriti 4,364 undi mengatasi calon gabungan PKR, Roseli Abdul Gani yang memperoleh 31,732 undi dan Mustafa Dolah (Pas), 6,028 undi.