Dizaman kos sara hidup semakin meningkat, bukan mudah untuk membesarkan anak-anak terutama buat mereka yang mempunyai keluarga yang besar. Jika tinggal di bandar, sudah tentu ianya cabaran besar dan tekanan kepada ibu bapa.

Diakui kos untuk membesarkan anak-anak memerlukan kos yang besar. Malah, kajian turut mendedahkan anggaran kos membesarkan anak bermula dari saat kehamilan sehingga usia mereka mencecah 23 tahun mencecah RM300 ribu.

BACA: Lelaki OKU Gigih Jual Ikan Masin Cari Dana Rawatan Anak

Ianya memang sangat mengejutkan dan pasti ramai yang tertanya-tanya apa yang menyebabkan ia boleh mencecah nilai itu. Ini penerangan yang jelas oleh Muhammad Wa’iz menerusi laman Hello Doktor mengenai hal berkenaan.

Melihat kepada infografik di atas, ini adalah anggaran jumlah terendah keseluruhan kos yang diperlukan untuk anda membesarkan seorang anak. kemudian dibahagikan kepada dua pilihan anggaran kos, sama ada memilih untuk menggunakan kemudahan kerajaan atau perkhidmatan swasta.

Kehamilan dan keperluan bayi

Kos kehamilan yang diperlukan antara kedua-dua fasiliti kerajaan dan swasta sememangnya mempunyai perbezaan yang agak besar.

  • Daftar di klinik atau hospital kerajaan: Kos sekitar RM200 hingga RM300 sahaja termasuklah caj wad harian
  • Hospital atau pusat perubatan swasta: Serendah RM4,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis hospital dan pilihan pakej anda.

Umum mengetahui, bermula 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi bayi dalam kereta. RM150 adalah anggaran terendah yang kami berikan kerana kami tidak mahu mencadangkan kerusi bayi yang lebih murah daripada harga tersebut.

Soal keselamatan kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi! Kerusi bayi yang terlalu murah belum tentu selamat digunakan.

Kos persekolahan kanak-kanak

  • Kerajaan

Bagi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah milik kerajaan, yuran yang dikenakan untuk tempoh setahun pembelajaran boleh dikatakan agak rendah.

Namun, kos bagi mempersiapkan anak ke sekolah seperti alat tulis, buku-buku, uniform sekolah, dan belanja harian, perlu diambil kira.

  • Swasta

Manakala bagi sekolah-sekolah milikan swasta sama ada sekolah rendah atau menengah, kos tahunan akan meningkat sekali ganda daripada kos keseluruhan tahunan sekolah kerajaan.

Ini kerana, anda perlu membuat pembayaran kos operasi sekolah tersebut dan pelbagai jenis yuran-yuran lain yang tidak terdapat di sekolah kerajaan.

Pembiayaan ke peringkat pendidikan lebih tinggi

  • Kos pengajian universiti awam & matrikulasi

Bagi anak-anak yang memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat asasi Universiti Awam atau matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kos tahunan juga boleh dikatakan agak rendah kecuali kos pendaftaran pengajian. Ini kerana yuran pengajian telah diberikan subsidi dan ibu bapa hanya perlu membayar sekitar RM350 bagi yuran pengajian dan RM360 bagi yuran penginapan setiap semester. Pelajar yang mendaftar di asasi Universiti Awam juga akan diberikan elaun sebanyak RM1,250 setiap semester bagi mereka yang layak.

  • Kos pengajian IPTS tiga kali ganda daripada IPTA

Jika anda memilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau IPTS sebagai destinasi pengajian tinggi pertama untuk anak anda, kos tahunan yang diperlukan adalah sebanyak tiga kali ganda daripada kos pengajian di Pusat Asasi Universiti Awam atau Kolej Matrikulasi KPM.

  • Kos pengajian ijazah sarjana muda sekitar RM20,400 setahun

Bagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, kos yang diperlukan bagi pengajian di Universiti Awam adalah sekitar RM20,400 bagi tempoh setahun. Ini bergantung kepada yuran pengajian setiap semester sama ada kurang atau lebih daripada jumlah RM1,000 bagi setiap semester.

Manakala bagi IPTS, ia bergantung kepada jenis IPTS itu sendiri. Bagi IPTS yang berstatus tinggi dan lebih berprestij seperti Taylor’s University atau INTI University, kosnya adalah lebih tinggi berbanding universiti atau kolej universiti swasta biasa. Jika anak anda mendaftarkan diri ke universiti-universiti luar negara yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia, kosnya akan menjadi lebih tinggi. Bagi mereka yang mungkin masih tidak tahu, Malaysia merupakan rumah kepada beberapa kampus cawangan universiti luar negara yang ternama.

Cadangan bagi mereka yang ingin kurangkan kos

Terdapat beberapa perkara yang mungkin anda boleh ikuti bagi mengurangkan beban kos yang perlu ditanggung dalam membesarkan anak anda. Antaranya adalah:

  • Bagi kelengkapan bayi seperti baby walker dan buaian, anda mungkin boleh mendapatkannya melalui pembelian secara second-hand atau meminjamnya daripada saudara mara anda sendiri
  • Bagi mereka yang tinggal di kawasan Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), anda boleh menggunakan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan oleh DBKL
  • Selain itu, bagi anak-anak yang kerap menggunakan perkhidmatan LRT, MRT atau mana-mana kemudahan pengangkutan awam yang diselia oleh RapidKL, anda boleh memohon Pas Pelajar untuk kegunaan anak anda
  • Bagi anak anda yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, pilihlah pusat pengajian yang menyediakan kemudahan biasiswa dan pinjaman pelajaran seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)

Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, kos yang diperlukan sememangnya lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Namun, kerajaan menyediakan beberapa inisiatif erutamanya kepada golongan bersasar seperti B40 dan M40 bagi mengurangkan beban tanggungan.

Gunakan kesempatan ini secara maksimum kerana kemudahan dan inisiatif yang diberikan ini sememangnya untuk kesejahteraan rakyat.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?