Gaya makan secara longgok atau ‘Shellout’ semakin popular hinggakan kuih raya juga boleh dihidang ala ‘Shellout’. Pelbagai kuih raya dicampurkan sekali di atas meja panjang untuk dihidangkan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan Santan, Kangar, Perlis.

BACA: Teka Jumlah Bekas Kuih Raya Tarik 20,000 Penyertaan

Sumber dari fb Nur Shafiza

Kemeriahan jamuan sempena hari raya Aidilfitri itu dikecam oleh pengguna laman sosial Facebook kerana mereka berpendapat kuih raya tidak sepatutnya dilonggokkan sebegitu kerana ia menjurus ke arah pembaziran.

Terdapat pelbagai jenis kuih raya dilonggokkan di atas meja di dewan sekolah itu dilihat sebagai tidak sesuai kerana kuih raya mudah hancur jika dicampurkan dalam jumlah yang banyak.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Santan, Noramini Abdul Rani berkata, konsep ‘Shellout’ itu bukanlah perkara baru kepada mereka kerana pihak sekolah telah mengamalkan konsep itu semasa jamuan sekolah sejak beberapa tahun lepas.

“Kita tidak memaksa mereka untuk membawa kuih raya. Tetapi konsep ‘shellout’ ini bagi membolehkan semua murid dapat berkongsi makanan mereka bersama lain,” jelasnya.

Sumber dari fb Nur Shafiza

“Tambahan pula ada murid dari keluarga yang kurang berkemampuan. Konsep ini membolehkan murid-murid terbabit berpeluang merasai kuih raya yang tidak dibawa atau belum pernah dirasai mereka,” ujarnya kepada mStar.

Malah, murid-murid juga digalakkan untuk membawa balik lebihan makanan jadi isu pembaziran tidak wujud dalam majlis jamuan sebegini. Murid-murid juga disuruh beratur untuk mengambil makanan jadi tiada berlaku insiden tolak-menolak atau berebut semasa mengambil makanan.

“Kita memberikan peluang setiap murid mengambil kuih raya. Mereka juga dinasihatkan untuk membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum menikmati juadah,” tambahnya lagi sambil menjelaskan pihaknya menyediakan tisu di meja ‘Shellout’ berkenaan.

“Apa yang lebih penting adalah konsep jamuan raya ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim, bahkan membangkitkan keseronokan dan kegembiraan mereka menyambut hari raya,” katanya sambil mengakhiri perbualan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Resepi Popia Horlicks Yang Dapat Ribuan Share!