Hanya kerana penjaga lewat membayar upah, seorang pengasuh tergamak mendera seorang bayi berusia 14 bulan hingga tidak sedarkan diri. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Kuching, Sarawak pada 25 Oktober lalu.

Lebih menyayat hati, bayi malang itu kemudiannya didapati berada dalam keadaan kritikal kerana dipercayai tidak diberi makan dan minum hampir tiga minggu. Akibatnya, bayi perempuan itu turut diserang penyakit sawan dan jangkitan kuman pada paru-parunya.

BACA: Bayi 2 Tahun Maut Dicili Mulut, Pengasuh Dipenjara

Pemeriksaan perubatan turut mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kepala kanak-kanak berkenaan. Suspek juga mengaku memukul bayi berkenaan menggunakan botol susu dikepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, polis telah menahan seorang wanita berusia 23 tahun pada 27 Oktober lalu di Batu Kawa bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku ada memukul kanak-kanak berkenaan menggunakan botol susu di kepala sebanyak dua kali dan tangan supaya kanak-kanak itu berhenti menangis,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek nekad bertindak demikian kerana marah kepada ibu bayi perempuan itu yang lewat membayar upah. Difahamkan kanak-kanak itu dijaga oleh pengasuh tersebut selama tiga minggu dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam. Kali terakhir pengadu berjumpa dengan anaknya adalah pada 23 Oktober lalu kerana terpaksa bekerja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

FOOD PARK Dalam The Curve? (27-30 September 2018)😍😍