Seorang wanita warga Indonesia yang memuat naik video kontroversi memakan daging babi di Facebook membuat permohonan maaf dan mengaku ia sebenarnya daging ayam.

Memetik laporan Harian Metro, wanita tersebut Arsy Hallawi yang bekerja di Hong Kong dikecam netizen selepas memuat naik video dan memberitahu daging yang dimakan olehnya adalah babi.

Tambahnya lagi, kebanyakan warga Indonesia yang bekerja di Hong Kong, Taiwan dan Singapura memang akan makan daging babi dan jika mereka memberitahu tidak makan daging babi, bermakna mereka berbohong.

“Ini paha babi yang masih muda, jadi dagingnya enak, empuk dan tidak keras,” katanya sambil menunjukkan daging yang dinikmati olehnya.

Video tersebut tular di media sosial dan rata-rata netizen mengecam tindakan wanita itu yang bertudung ketika makan daging tersebut.

Namun, selepas menerima banyak kecaman, Arsy tampil dengan satu lagi video dan membuat permohonan maaf serta memberitahu daging yang dimakannya itu sebenarnya daging ayam.

“Saya juga meminta maaf kepada pekerja Indonesia di Singapura, Hong Kong dan Taiwan kerana menuduh mereka memakan daging babi,” katanya.

Menurut sumber, wanita itu sengaja memuat naik video sedemikian kerana tertekan kerana sering dituduh cuba merampas suami orang.