Anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN).

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes Adib kini sebagai kes bunuh. Di media sosial, rata-rata netizen turut berdukacita di atas kehilangan perwira negara itu yang menjadi mangsa keganasan orang lain.

BACA: “Adib Seorang Wira, Anugerahkanlah Pahala Syahid Buat Dirinya”

Ramai netizen mahukan keadilan buat Adib dan mahu Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy bertangungjawab dengan kenyataan beliau yang menyalahkan polis dalam kejadian rusuhan November lalu.

Netizen turut mendesak agar  Waytha Moorthy berundur dan meletakkan jawatan dengan kadar segera. Tidak kurang juga, ada yang meminta agar kerajaan mendengar suara sepakat rakyat Malaysia sebelum perkara buruk terjadi.

Dalam masa sama, netizen turut meminta agar pelaku yang menyerang Muhammad Adib ditahan dan didakwa semula serta tidak boleh diberi dijamin keluar.

Hari ini menerusi laporan Astro Awani, P. Waytha Moorthy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihak polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah yang mengakibatkan kematian Muhammad Adib dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Sementara itu, memetik laporan Utusan Online, petisyen menuntut perlucutan jawatan P. Waytha Moorty sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Senator telah dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) sejak semalam dan setakat pukul 11.30 pagi tadi sudah memperoleh 199,046 tandatangan.