Pekerja Lelaki IKEA Dapat Cuti Sebulan Bergaji?
Usaha oleh syarikat perabot terkenal dari Sweden, IKEA sememangnya patut dipuji apabila memperkenalkan cuti bersalin satu bulan gaji kepada kakitangan lelaki di syarikat mereka untuk seluruh cawangan di Asia Tenggara.
Peluang tersebut diberikan untuk memberi ruang kepada kaum bapa untuk turut terlibat secara langsung dengan penjagaan bayi serta isteri yang baru bersalin.
BACA: IKEA Tebrau Beroperasi 16 November Ini
Pengarah Sumber Manusia IKEA Asia Tenggara,Lydia Song memberitahu Astro Awani, syarikatnya itu amat menitikberatkan kehidupan di rumah bersama keluarga serta nilai-nilai Sweden termasuk kesamarataan di pejabat dan rumah.
“Malah kita percaya lelaki dan wanita wajar diberi peluang untuk sama-sama membesarkan anak mereka. Tahun ini, di seluruh outlet dan pejabat IKEA di Asia Tenggara kita memperkenalkan cuti bersalin satu bulan gaji bagi membolehkan kakitangan lelaki menjaga bayi mereka dalam tempoh sebulan,” ujarnya lagi.
Oleh itu seorang kakitangan IKEA Malaysia, Muhammad Rizal Sunalim adalah kakitangan pertama di negara ini yang mendapat cuti tersebut yang akan berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.
Bagi Muhammad Rizal, dia merasaka peluang cuti sebulan ini adalah masa yang sangat berharga untuk dia dan keluarga.
“Ketika isteri saya bersalin anak pertama dan kedua, beliau melakukan semua kerja sendiri. Kali ini saya mempunyai peluang untuk menjaga bayi kami dan isteri tersayang,” tambahnya lagi.
- SUMBER
- Astro Awani