Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan membuat pendedahan mengejutkan apabila pihaknya menganggarkan sebanyak 14,000 lesen memandu yang tidak mengikut prosedur atau “lesen terbang” seperti ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalam (JPJ) dikeluarkan dalam tempoh 2 tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata pemegang lesen terbang terbabit dikehendaki tampil segera menyerahkan lesen tersebut dalam tempoh sebulan bermula hari ini sehingga 13 Oktober depan.

BACA: Tiada Lagi Rasuah Untuk Dapatkan Lesen Memandu

“Kita bagi peluang serah balik kepada JPJ, jadi saksi untuk pendakwaan dan kita tak akan ambil tindakan kepada anda.

“Kalau tidak berikan kerjasama, anda akan dicari dan diambil tindakan tegas. Kami tahu identiti anda menerusi data peribadi menerusi sistem pengkalan data JPJ,” katanya kepada FMT.

Berhubung pengeluaran lesen terbang tersebut, Anthony berkata seramai 12 orang pegawai dan anggota JPJ ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya lagi, tangkapan berkenaan bermula pada 4 September lalu membabitkan 5 negeri sehingga hari ini dan semua pegawai terbabit kini ditahan kerja.

“Modus operandi mereka adalah memproses maklumat pemohon dengan menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara,” katanya.

Pihaknya juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman bagi menyiasat pengeluaran lesen terbang berkenaan.

Ujarnya lagi, jika gagal tampil untuk menyerahkan lesen berkenaan, tindakan akan diambil dimana jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mereka boleh dikenakan hukuman minima RM5,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Kebab Gemok Tak Habis Makan Sorang