Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang lelaki warga emas didakwa meraba seorang wanita di dalam LRT.

Kemudian tampil seorang saksi memberitahu lelaki tersebut tidak meraba wanita itu, sebaliknya hanya mahu menarik kain jubahnya yang tertindih.

Berikutan itu, seorang penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew, mendedahkan identiti lelaki berkenaan yang merupakan seorang yang berbudi pekerti dan aktif berdakwah.

“Pakcik tu saya sangat kenal rapat dari umur 12 tahun sejak mula-mula dekat dengan dakwah dan belajar benar-benar kenal Allah,” katanya menerusi satu posting di Facebooknya.

Ustaz Ebit bersama Ramesh yang merupakan seorang saksi insiden tersebut.

Menurut Ustaz Ebit Lew, dia sangat mengenali lelaki itu dan warga emas itu bukan calang-calang orang kerana dia sangat aktif berdakwah sejak dari muda lagi.

Tambah Ustaz Ebit Lew lagi yang turut mengenali kesemua anak lelakinya, warga emas itu seorang bapa yang sangat hebat.

“Semua anaknya daie. Pelajar cemerlang universiti dan daie besar. Sifat anaknya macam ayahnya. Saya selalu cerita kisah hidup keluarganya dalam ceramah saya.

“Siapa terlibat fitnah pakcik baik cepat minta maaf dan bertaubat. Dosa fitnah ini lebih besar dari membunuh. Janganlah sakiti atau fitnah orang tak buat salah. Aibkan macam tu..orang baik dan tak salah pula,” katanya.

Ustaz Ebit Lew juga menasihatkan agar semua pihak berhenti memfitnah pak cik tersebut terutama mereka yang menyebarkan video tersebut.