Pelbagai idea menarik dilakukan oleh rakyat Malaysia sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke-60 tidak lama lagi. Salah satunya ialah menghasilkan roti canai bertemakan Jalur Gemilang yang dilakukan oleh seorang pemilik restoran di Taman Tunku Maheran, Jitra, Kedah.

BACA: Roti Canai ‘Artis’ Berharga RM1

Sumber dari Amran Hamid

Pemilik Restoran Didie Roti Canai, Mohd Najmuddin Md Noor, 30 tahun berkata, dia menyediakan 500 keping roti canai yang bertemakan Jalur Gemilang untuk diberi secara percuma kepada para pelanggannya.

Najmuddin atau lebih dikenali sebagai Didie menjelaskan, dia menguli 30 kilogram tepung gandum dalam tempoh tiga jam bagi menyiapkan doh roti canai unik itu.

“Ini sebenarnya sebahagian daripada inisiatif kami untuk menghargai sokongan pelanggan terhadap roti canai di restoran saya dan sempena sambutan kemerdekaan negara ke-60 tahun ini, saya tampilkan kelainan dengan menghasilkan roti canai istimewa yang bertemakan Jalur Gemilang,” ujarnya.

Sumber dari Amran Hamid

“Saya gunakan empat pewarna makanan iaitu merah, kuning, biru dan putih untuk menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan doh roti canai yang kemudian dihidangkan kepada pelanggan yang datang. Alhamdulillah pelanggan semua gembira,” sambungnya.

Menurutnya, sehari sebelum itu dia ada membuat hebahan di akaun laman sosial Facebook miliknya mengenai roti canai percuma namun tidak sangka ramai yang datang ke restorannya untuk menikmati hidangan percuma tersebut.

“Semua 500 keping roti canai istimewa ini saya sajikan secara percuma kepada pelanggan bermula jam 6 petang semalam dan ia habis dalam tempoh kira-kira dua jam,” katanya.

“Selain roti canai, tetamu juga dihidangkan minuman panas dan sejuk secara percuma dan saya amat teruja dengan sambutan diterima. Insya-Allah saya cadang adakan lagi sambutan seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya lagi sebelum mengakhiri perbualan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Roti Telur Cheese Power Bak Hang