Bukan mudah untuk hidup di zaman kos sara hidup yang semakin meningkat. Dengan gaji bulanan yang diterima belum tentu cukup untuk menampung keperluan keluarga.

Berbeza dengan zaman dahulu, suri rumah sekarang bijak mencari rezeki sampingan untuk membantu menyara keluarga. Ada yang berniaga dalam talian dan paling menarik wanita ini menyediakan perkhidmatan melipat kain baju.

BACA: 33 Tahun Jual Kuey Tiow, Jana Pendapatan 5 Angka Sehari

Ibu tunggal dikenali sebagai Afifahtul Munawarah Kassim ini yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 14 tahun, mencari rezeki dengan melipat kain baju di bandar raya Johor Bahru.

Menurutnya, rata-rata pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya adalah daripada golongan wanita bekerjaya yang sibuk bekerja.

“Kebanyakan pelanggan saya, terutama wanita menghadapi masalah untuk melipat pakaian kerana kesuntukan masa hingga ia terperuk di dalam bakul dalam tempoh berbulan-bulan di rumah mereka.

“Ia termasuk wanita profesional dan bekerjaya, selain dilema itu turut dihadapi suri rumah kerana sibuk menguruskan keluarga hingga tertekan apabila melihat timbunan kain yang menggunung,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi cerita tentang pekerjaannya itu, dia bersyukur diberikan rezeki kerja meskipun ada kalanya terpaksa berdepan dengan timbunan baju yang banyak sehingga mengambil masa enam jam untuk menyelesaikannya.

Mula menawarkan perkhidmatan tersebut sejak setahun lalu, wanita itu memberitahu dia tidak malu dengan kerjayanya itu malah bersyukur kerana pendapatan itu membolehkannya menampung keperluan harian anaknya.

“Dengan berkat kesungguhan saya dan semangat tidak berputus-asa, kini saya mampu menjana pendapatan bulanan kira-kira RM900 sebulan.

“Ada pihak yang mempersenda kerjaya saya ini, namun saya tidak pernah berasa malu bagi melakukannya kerana selain mendatangkan hasil saya juga membantu golongan wanita, terutama yang sudah berumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, Afifahtul berkata, dia bersedia memberi nasihat kepada wanita yang ingin menjadikan perkhidmatan lipat kain sebagai kerjaya berdasarkan pengalamannya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Pening Kepala Pekena Butter Beer?