‘Sentap’ Disuruh Kemas Rumah, Remaja 17 Tahun Lari Rumah
Siapa sangka, hanya kerana si ibu menegur untuk mengemas rumah, seorang remaja berusia 17 tahun dipercayai merajuk bertindak lari dari rumah dan tidak pulang sejak Jumaat lalu.
Hasanatul Khalikah Ali, 39, ibu kepada remaja tersebut, Nur Ainin Sufiah Mohd Adam, pada mulanya menyangka anaknya itu hanya keluar ke rumah kawan. Bagaimanapun hingga kini anaknya itu langsung tidak pulang ke rumah malah gagal dihubungi.
BACA: ’Terbuang’ Duit Lepas Penat Kemas Rumah
Memetik laporan Sinar Harian, pada hari anaknya keluar dari rumah, ibunya ada menegurnya supaya mengemas rumah dengan nada suara yang agak tinggi. Kata wanita itu lagi, kali terakhir dia nampak anaknya keluar membawa beg namun tidak terfikir anak sulungnya itu mahu lari dari rumah.
“Selepas itu saya nampak dia keluar bawa beg tapi taklah terfikir dia nak lari. Mungkin agaknya dia merajuk dengan saya,” katanya.
Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya termasuk menghantar mesej menerusi WhatsApp tetapi tidak dijawab. Bimbang akan keselamatan anaknya, Hasanatul bertanyakan tentang anaknya itu di dalam kumpulan WhatsApp sekolah.
“Kawan Ainin beritahu anak saya selamat dan kini berada di rumah ibu tirinya di Port Dickson. Paling saya risau apabila dia cakap nak pergi ke Johor.
“Saya nak cari Ainin pun tak tahu alamat rumah ibu tirinya di mana. Saya betul-betul risau kerana dia perempuan dan berada di bawah tanggungjawab saya sebagai ibu kandung sejak ayahnya meninggal dunia Jun lalu,” katanya.
Tambahnya, dia tidak lagi memarahi Ainin dan hanya mahukan anaknya itu pulang dalam keadaan selamat kerana terlalu merinduinya.
“Ibu minta maaf jika terkasar. Sebagai seorang ibu, saya menegurnya demi kebaikan. Lagipun dia anak sulung dalam lima beradik dan menjadi harapan saya.
“Saya mohon kepada sesiapa yang ternampak Ainin supaya hubungi 011-20701969 kerana saya terlalu risaukan keadaannya.
Dalam pada itu, Hasanatul juga telah membuat satu laporan juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, kelmarin.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Pening Kepala Pekena Butter Beer?
- SUMBER
- Sinar Harian