Teh Ais Bangla Laris, Orang Beratur Panjang?
Tidak semua orang meminati kopi, jadi mereka lebih gemarkan teh berbanding kopi. Selain itu, air teh turut menjadi pilihan anak muda ketika pergi makan atau lepak di hujung minggu.
Baru-baru ini teh ais bangla atau teh ais Dhaka menjadi tular di laman sosial Facebook kerana ramai yang menyerbu gerai minuman ini serta sanggup beratur panjang demi teh ais yang diidamkan.
BACA: Kedai ‘Ikat Tepi’ Kena Denda
Tidak kurang juga ramai yang musykil mengenai siapakah penjual sebenar Dhaka Teh Ais di negara ini memandangkan pihak Imigresen tidak mengeluarkan lesen berniaga kepada warga asing.
Pertanyaan orang ramai terjawab apabila Facebook page Dhaka Teh Ais memuat naik video mereka membuat teh ais beserta wajah pemilik sebenar penjual Dhaka Teh Ais ini.
Pemilik Dhaka Teh Ais, Muhd Izzat Syafiq Asaari, 28 tahun, memberitahu dia mendapat idea untuk membuka perniagaan tersebut setelah dia menyertai satu program dakwah di Tongi, Bangladesh pada Januari lepas.
“Di sana saya berpeluang melihat peniaga tempatan mempunyai cara tersendiri menjual teh yang menjadikan air minumannya lebih pekat,” katanya.
“Jadi, saya amalkan cara pembuatan mereka di sini, sebab itulah saya menamakannya sebagai ‘Dhaka Teh Ais’,” ujar anak tempatan yang berasal dari Kuala Lumpur ini.
“Biar rasa air teh sedap dan pekat tetapi dijual pada harga berpatutan. Kaedah pembuatannya masih lagi mengikut cara penjual teh di Bangladesh,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia menggantikan susu kambing dengan susu pekat manis kerana harga susu kambing agak mahal di sini. Malah, dia turut memberitahu bahawa dia hanya menggunakan teh tempatan kerana senang untuk mendapatkan bekalan jika stok teh habis.
Untuk makluman anda, waktu operasi gerai Dhaka Teh Ais ialah dari 11 pagi hingga 7 malam, manakala harga bagi satu teh ais ini dari RM3 hingga RM5.
Semoga kita dapat memberi sokongan terhadap perniagaan anak-anak muda seperti mereka agar dapat dicontohi oleh anak muda lain yang mahu menceburi bidang perniagaan.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Cara Mudah Buat Teh Matcha dan Matcha Latte
- SUMBER
- MSTAR