Kucing merupakan salah satu haiwan kesayangan manusia, namun dua lelaki ini layak digelar individu paling kejam apabila tergamak membunuh kucing betina yang sedang bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di kedai dobi.

Kejadian kejam itu dipercayai berlaku di Taman Gombak Ria, Gombak, semalam. Kejadian 12.30 tengah malam itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan turut dikongsi oleh Persatuan Haiwan Malaysia di media sosial.

BACA: Mata Kucing Dicungkil, Pengguna Laman Sosial Berang

Menerusi video berdurasi dua minit 50 saat itu, kelihatan dua lelaki pelanggan dobi berkenaan memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Dua lelaki itu kemudian berlalu pergi sambil membawa baju yang sudah dibasuh namun kemudian datang semula beberapa saat kemudian sambil memasukkan duit syiling ke dalam mesin pengering berkenaan.

Mereka kemudian meninggalkan kedai dobi itu sebaik menekan butang ‘mula’ pada mesin pengering yang mengandungi kucing betina berkenaan sebelum bangkainya ditemui seorang pelanggan dalam keadaan berlumuran darah.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika memberitahu pihaknya sudah pun membuat laporan polis mengenai perbuatan zalim berkenaan dan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Veterinar Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, dua lelaki berkenaan adalah rakyat tempatan dan dipercayai tinggal berdekatan berikutan kerap membasuh baju di situ.

“Perbuatan dua lelaki itu memang cukup zalim dan berharap agar pelaku dijatuhi hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Makan Tom Yam Sampai Tersedak?