Utusan Melayu Bakal Tutup Operasi Hari Ini?
Umum mengetahui semalam dilaporkan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) dijual kepada Aurora Mulia Sdn Bhd. Difahamkan, Utusan melepaskan 70 peratus yang sebelum ini dimiliki oleh Dilof Sdn Bhd.
Bagaimanapun hari ini kita dikejutkan dengan berita satu memo dimana lebih 800 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad bakal ditamatkan tugas berkuat kuasa hari ini, 9 Oktober.
BACA: Selepas Kecoh Akan Henti Operasi, Utusan & Kosmo Habis Terjual!
Memetik laporan Harian Metro, tindakan drastik itu dibuat susulan keputusan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang akan mengumumkan bankrap secara sukararela syarikat itu.
Pekerja termasuk wartawan dimaklumkan hari ini sebagai hari terakhir mereka bekerja dan tarikh akhir perkhidmatan adalah pada 31 Okt.
Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar berkata, semua kakitangan sudah diarahkan untuk mengosongkan meja masing-masing selewat-lewatnya jam 1 tengah hari.
Lebih menguatkan lagi dakwaan syarikat akhbar itu akan menamatkan operasi apabila wartawan dan jurugambar tidak diberikan tugasan hari ini.
“Setakat ini kakitangan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai dakwaan itu daripada pihak pengurusan, sebaliknya hanya diminta mengosongkan meja masing-masing oleh ketua unit.
“Ini menjadi tanda tanya 800 kakitangan yang masih bekerja mengenai nasib kami,” katanya.
Difahamkan, pihak Utusan dijangka bakal mengadakan satu sidang media tergempar jam 12 tengah hari ini di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin mengenai kemelut yang melanda.
Untuk pengetahuan anda, Aurora Mulia Sdn Bhd dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Pembelian tersebut adalah langkah untuk memasti memastikan akhbar tertua Malaysia iaitu Utusan Malaysia terus kekal selepas 80 tahun beroperasi.
- SUMBER
- Harian Metro