Seorang lelaki tergamak memukul jirannya yang merupakan seorang warga emas menggunakan rotan berukuran 0.8 meter di Jalan Karak, Klang pada minggu lepas.

Video mengenai kejadian itu dirakam oleh rakan suspek kemudian tular di laman sosial seterusnya membangkitkan kemarahan orang ramai.

BACA: Wanita Serang Anggota MPSJ Beri Kerjasama

Video berdurasi selama 1:44 saat itu dikongsi oleh Urban Lites jelas menunjukkan suspek memukul mangsa sambil dilihat oleh isteri serta anak mangsa yang menangis melihat mangsa dipukul tanpa belas kasihan.

Mangsa berusia 52 tahun itu didakwa dirotan sebanyak 10 kali di bahu, betis, peha dan punggungnya oleh suspek di rumahnya.

“Kejadian jam 3.30 petang ketika mangsa yang berusia 52 tahun dipercayai bertengkar dengan isterinya di rumah, sebelum datang seorang jiran berumur 60 tahun masuk campur,” jelas sumber kepada Berita Harian.

“Tindakan itu menimbulkan ketidakpuasan hati mangsa yang bertindak memaki jiran dengan kata kesat dan lucah. Tidak lama kemudian, datang seorang suspek yang mengambil rotan dari dalam rumah mangsa serta bertindak memukul mangsa,” katanya.

“Jiran yang dimaki mangsa adalah bapa kepada rakan karib suspek. Kejadian ini dirakam menggunakan telefon bimbit oleh seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek,” tambahnya lagi.

Menurut sumber berkenaan, polis turut merampas rotan yang digunakan suspek ketika memukul mangsa dan sedang giat menjalankan operasi memburu suspek tersebut.

Selain itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan cedera menggunakan barang berbahaya.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Awat Nama Dia Siakap & Daging Lempaq?