Tongkat Ali adalah sejenis herba yang digunakan oleh masyarakat kita sejak berzaman. Digunakan secara tradisional untuk merawat penyakit, Tongkat Ali sangat terkenal hingga mendapat perhatian dari pakar-pakar dan penyelidik negara luar.

Disebut juga sebagai Pasak Bumi, Penawar Pahit, Penawar Bisa, Bedara Merah, Bedara Putih, Ginseng Malaysia, Setunjang Bumi, Lempedu Pahit, Payung Ali, Tongkat Baginda, Muntah Bumi dan Petala Bumi. Walau apa gelaran sekali pun akar Tongkat Ali berada pada martabat yang tersendiri. Jadi, kami sediakan fakta ringkas mengenai Tongkat Ali.

1. Mari berkenalan dengan pokok Tongkat Ali

Secara amnya pokok Tongkat Ali berasal dari Asia tenggara dan mempunyai taburan  majoriti semulajadi di Malaysia, Indonesia, Myammar dan Thailand. Namun sekarang, taburannya telah berkembang ke negara-negara Asia tenggara yang lain seperti Laos dan Filipina.

Ini mungkin disebabkan oleh faktor komersial dan potensi baru yang wujud serta faktor perkembangan teknologi dalam bidang pertanian dirantau Asia tenggara.

Tongkat ali merupakan tumbuhan yang bersifat panjang dan tinggi serta tumbuh menegak tanpa cabang. Tongkat ali yang hidup liar selama berjuta tahun di hutan hujan tropika, mengambil masa yang lama untuk mencapai diameter batang pokok sebesar 6 inci.

Dalam keadaan semula jadinya di hutan, Tongkat Ali tumbuh dengan kadar yang perlahan dan boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m dengan garis pusat batang berukuran 20cm. Daunnya berbentuk bujur dengan kelebaran di antara 2cm dan 3cm, dan panjang di antara 8cm dan 10cm.

Daunnya tersusun secara berpasangan pada satu tangkai dengan panjang hingga 100cm. Terdapat 20–30 pasang anak daun bagi setiap tangkai daun yang tersusun secara pilin, sama ada mengikut pusingan jam atau melawan pusingan pada paksi batang.

2. Kegunaan Tongkat Ali

Secara amnya tumbuhan Tongkat Ali mengandungi beberapa jenis komposisi kimia seperti Eurycomanol, Eurycomanone, dan Eurycomalactone yang mengandungi nilai perubatan yang begitu tinggi dan berharga.

Dahulunya ia hanya digunapakai oleh orang-orang kampung atau luar bandar untuk tujuan perubatan tradisional sahaja dan bukan bertujuan untuk komersial – akar Tongkat Ali direbus dan dijadikan sebagai ubat sakit kepala, sengal-sengal tulang belakang dan sakit perut.

Di Kemboja, Tongkat Ali berfungsi untuk meneutralkan bisa racun dalam badan, merawat demam kuning, dan kembung air manakala di Indonesia, ia digunakan untuk mengurangkan demam, melegakan mana-mana bahagian badan yang bengkak.

Air rebusan Tongkat Ali ini juga sesuai dijadikan amalan sebagai minuman tonik kesihatan selepas bersalin mengikut kadar yang dibenarkan. Masyarakat di Vietnam pula menggunakan buah dan bunga daripada Tongkat Ali untuk merawat sembeli.

3. Apakah khasiat sebenar Tongkat Ali?

Umum mengetahui khasiat Tongkat Ali adalah untuk meningkatkan syhawat atau tenaga bagi orang lelaki. Akan tetapi selari dengan peredaran zaman dengan teknologi moden serta kajian secara mendalam yang telah dilakukan oleh pakar-pakar dari dalam dan luar negara telah menemukan beberapa khasiat lain yang terdapat pada akar Tongkat Ali.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Perubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, penyelidikan khasiat Tongkat Ali bermula pada 1999 yang mana pihaknya terlibat mengkaji bahan kimia dan juga genetik tumbuhan tersebut.

“Hasil kajian kita mendapati penanda kimia tongkat ali sejenis bahan di namakan eurikomanon dan juga sebatian aktif,” katanya.

Penyelidikan tersebut dijalankan di bawah projek utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Program Perkongsian Bioteknologi Malaysia-Institut Teknologi Massachusetts (MIT). Kajian kimia mendapati kewujudan sebatian aktif seperti eurikomanoneurikomalakton dan eurikomanol (qussinoids) yang banyak di dalam akar.

Sebatian ini telah dikenal pasti berkeupayaan untuk meningkatkan penghasilan hormon testosterone (androgenic) yang diperlukan dalam fungsi kelelakian. Sebatian yang menyebabkan aktiviti tersebut telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk nutraseutikal atau farmaseutikal untuk rawatan masalah hormon dan kesuburan.

Hasil kajian juga mendapati bahawa tongkat ali mempunyai sebatian aktif anti malaria dan anti kanser tetapi kajian lanjut mengenai tumbuhan herba tersebut masih dijalankan

4. Cara pengambilan yang betul

Kita seharusnya merasa kagum dengan orang-orang terdahulu kerana berjaya menemui khasiat akar Tongkat Ali. Dengan tiada penggunaan teknologi canggih, masyarakat terdahulu mampu merungkai khasiat akar Tongkat Ali.

Namun menurut Dr Rasadah Mat Ali lagi cara terbaik ialah dengan mengekstraknya terlebih dahulu secara kimia dan ditulenkan kerana ini cara betul untuk menjadikannya satu ramuan yang tulen dan tinggi khasiatnya.

”Jika kita kisar sahaja, ia ibarat memasukkan habuk kayu dalam minuman dan ini membahayakan tubuh pengguna,” katanya.

”Pengguna sihat secara umumnya hanya memerlukan 100 miligram sehari sahaja,” ujar Rasadah. Apa yang penting dalam pengambilan tersebut, dos penggunaan perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia mengundang risiko kepada pengguna.

5. Apakah risiko yang terdapat pada Tongkat Ali moden?

Prof. Dr. Ramlan Aziz, Pengarah Loji Pepandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
ditanya mengenai obsesi rakyat negara kita terutama orang Melayu dengan produk prosesan hasilan herba.

Orang Melayu kata beliau, cepat terpengaruh dengan gimik iklan pelaris jualan yang menunjukkan kehebatan produk tertentu tanpa meneliti terlebih dahulu akan kebenarannya.

Pengguna juga mudah dan cepat mendapat hasil diingini tanpa mengira kesan sampingan produk yang mereka gunakan.

Namun kini, ada dua persoalan besar yang menjadi masalah pokok iaitu sama ada produk berasaskan tongkat ali dan kacip fatimah diproses dengan cara yang betul untuk menjadikannya minuman bertenaga dan, adakah produk tersebut mencapai tahap minimum kandungan sebenarnya.

Persoalan kedua, ialah adakah kandungan tongkat ali atau kacip fatimah tersebut mencukupi untuk melayakkannya digelar minuman daripada tongkat ali sedangkan kuantitinya sangat sedikit.

Kajian awal oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malayusia (FRIM) menunjukkan kandungan tongkat ali dalam kopi campuran adalah jauh daripada dos minuman yang memberi manfaat kepada kesihatan. Malah, ada jenama yang gagal dikesan kandungan tongkat ali dalam produk berkenaan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0717&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz5J1ekKIp8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kenali Tongkat Ali

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Restoran Nasi Arab Bayar Seikhlas Hati?

Sumber: Wikipedia, Utusan, Petrosains