Perhatian buat semua, gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Ianya susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April ini.

BACA: 472 Kawasan Lembah Klang Terjejas Bekalan Air

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara berkata pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan itu perlu dibuat dengan kadar segera bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

“Henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan,” tulis kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, pihak Air Selangor akan mengambil langkah dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terlibat.

Antaranya adalah memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman selain memastikan bantuan bekalan air dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya.

Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh tersebut dan disarankan menggunakan air secara berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Restoran Tom Yam Paling Legend Di Ampang😱🔥