Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilpaorkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang Baling. Bagaimanapun, pemilik gerai laksa kebok, meluahkan rasa kecewa dengan tuduhan melulu ke atas peniagaannya tanpa usul periksa.

Pemilik gerai, Daud Ismail, 51, menjelaskan dia yakin bahawa makanan yang dijual sejak tahun 2003 itu tidak tercemar kerana disediakan dengan baik seperti biasa.  Sebelum laksa dijual, dia dan ahli keluarga akan merasa terlebih dahulu hidangan berkenaan. Kata peniaga itu lagi, laksanya itu juga tidak dimasukkan sebarang bahan tambahan lain.

BACA: Kari Laksa KL Tersenarai Makanan Nombor 2 Terbaik Dunia

“Jika beracun, saya dan keluarga dulu yang akan mati malah kami berniaga sudah 15 tahun, cuma baru tiga tahun buka gerai depan rumah. Apa pun kami akan rasa dulu laksa sebelum dijual, sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya kepada BH Online.

“Kita sedia macam itu dari dulu, ubat tahan pun tak pernah dibawa masuk dalam masakan. Jika orang nak beli bawa balik jauh pun kami akan asingkan kuah sebab tak mau basi.

“Saya hanya mengetahui laksa dijual dikait dengan keracunan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling datang melakukan pemeriksaan pada 11 pagi kelmarin,” katanya.

Menurut Daud, Pejabat Kesihatan Daerah Baling mengambil sampel laksa, kuah dan sayur dan kali kedua mereka membuat pemeriksaan pada jam 9 pagi semalam namun hanya mengambil sayur sahaja.

Katanya lagi, pucuk selom digunakan dalam laksa pada hari Isnin hingga Ahad, manakala salad pada Rabu hingga Sabtu.

“Pucuk Selom saya beli di Sik, jika ada baki akan dibawa sampai Selasa manakala salad pula dibeli dari pasar di Pekan Kupang di mana setiap minggu saya membeli di tempat sama.

“Kesan tular itu dapat dilihat apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan menoleh ke gerai jualan saya kerana kebiasaannya tidak begitu,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga itu berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan mengenai isu tersebut dengan adil dan menganggap ianya ujian dari Allah.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lubuk Nasi Ngidey Resepi 4 Generasi 🔥🔥