Sekarang ini permainan mesin tikam yang menawarkan hadiah misteri menjadi kegilaan anak muda. Hadiah yang ditawarkan juga agak lumayan dan jika anda bertuah, anda mungkin memenangi sebuah telefon pintar, iPhone.

Bukan setakat iPhone, antara hadiah lain yang  ditawarkan ialah Playstations, power bank, dan televisyen.

Baru-baru ini menerusi Facebook, seorang netizen kongsikan pengalamannya menggunakan mesin tikam tersebut dan hasilnya sangat mengecewakan.

Lelaki itu cuba bermain mesin tikam yang terletak di KLIA2. Rata-rata yang mencuba permainan tersebut kerana teruja dengan hadiah yang ditawarkan.

“Kami ingin mencuba selepas mendengar ada pemain yang memenangi hadiah besar. Selepas membelanjakan RM400, kami hanya dapat kotak misteri dan pengering rambut mini.

“Lebih mengecewakan, pengering rambut tersebut tidak sama dengan jenama yang diiklankan. Pengering rambut yang kami dapat mungkin boleh didapati dengan harga RM20.”

Tidak berpuas hati dengan hadiah yang dimenangi, lelaki tersebut bertindak bermain lagi sehingga semua kotak di dalam mesin tikam tersebut habis.

“Memang mengejutkan. Hadiah misteri besar yang kami dapat hanyalah dua set makan tengah hari percuma.”

“Kami membelanjakan RM1,300 untuk kesemua kotak tersebut tapi yang kami dapat hanya 2 set makanan tengah hari dan satu pengering rambut.

Rata-rata orang ramai yang membaca posting tersebut turut kongsikan pengalaman mereka yang rasa tertipu dengan permainan mesin tikam itu.

Ada juga yang mempertahankan perniagaan mesin tikam tersebut dengan mengatakan agak mustahil untuk memenangi hadiah besar dan syarikat tersebut akan rugi jika setiap hari mereka menawarkan hadiah lumayan.