Masih Wujud Lagi Soto Ayam, Mi Kari RM1.90 Semangkuk
Sebut saja Shah Alam, pasti ramai yang tahu bahawa bandaraya itu terkenal dengan banyak pusat pengajian tinggi tidak kira awam mahupun swasta. Jadi tidak hairan jika banyak kedai makan di sekitar Shah Alam.
Boleh dikatakan kebanyakan kedai makan di sana menyediakan hidangan pada harga murah untuk menarik perhatian pelanggan terutama pelajar.
BACA: Maggi Ketam RM50 Semangkuk, Ini Jawapan Pemilik Kedai
Tetapi ada satu kafe di Shah Alam ini yang menyediakan pelbagai hidangan pada harga hanya RM1.90 sahaja bagi memenuhi bajet pelajar.
Pemilik Eat & Repeat Cafe Norhayati Ibrahim, 46, berkata kafe berkonsep “boat noodle” bertujuan untuk membantu pelajar yang kekurangan wang membeli makanan.
“Buka kedai ini awalnya atas dasar minat berniaga, lepas itu timbul ilham buat juadah Melayu dengan gaya ‘boat noodle’,” katanya kepada ProjekMM.
“Kemudian kita fikir soal harga sebab kedai ini di Shah Alam, ada banyak universiti, itu yang dapat idea RM1.90 untuk semua.”
Menurut Norhayati, kebiasannya pelajar atau pelanggan yang datang akan makan sekurang-kurangnya dua mangkuk dan boleh tambah jika mereka inginkan.
Kafe yang mula dibuka sejak tahun 2016 itu turut menyediakan juadah seperti mi hailam, mi sup, mi bandung, laksa utara, bihun sup dan mi celup.
Namun, menu yang paling popular dan menjadi pilihan ramai adalah soto ayam, mi kari dan rojak petis. Selain itu, nasi juga turut disediakan dengan harga sama.
Mereka juga kini membuka cawangan di Bangi, Kuala Selangor, Senawang, Melaka, Kuala Terengganu dan Johor Baru.
Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram
Meletop Perut Makan Burger Tsunami & Western Talam?
- SUMBER
- The Malay Mail Online