Amat menggelikan jika anda ingin membeli makanan di pasar yang dipenuhi najis burung dan di sekitar kawasan pasar. Malah, tahap kesihatan turut diragui jika makanan terdedah kepada najis burung seterusnya membuatkan orang ramai takut untuk membeli makanan.

BACA: KFC ’Terbangkan” Burger Di Angkasa?

Itulah yang terjadi kepada penjual di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu. Kelihatan kawasan sekitar pasar itu dipenuhi tompokan najis burung Ciok yang hinggap dan tidur di pasar itu pada waktu petang hingga awal pagi.

Terdapat 40 peniaga kuih di pasar tersebut terpaksa menghadapi keadaan persekitaran kotor setiap hari sehinggakan jumlah pelanggan juga semakin berkurangan ekoran isu najis burung ini, lapor Sinar Harian.

Seorang peniaga, Mohd Yassin Osman berkata, dia antara peniaga yang paling lama berniaga di sana sejak pasar itu dibuka pada tahun 2002 memberitahu bahawa kesan najis burung semakin bertambah teruk sejak dua tahun lepas sehingga membuatkan peniaga dan pelanggan tidak selesa dengan persekitaran kotor sebegitu.

“Pembeli sudah makin lengang selepas najis burung yang boleh kelihatan di pelbagai tempat dan keadaan ini menjejaskan periuk nasi. Kita memang terasa dengan kedatangan pembeli yang semakin kurang kerana keadaan sekitar terlalu kotor,” katanya.

“Kita harap pihak bandaran ambil tindakan segera dengan memasang pukat sebagaimana di Pasar Chabang Tiga supaya burung tidak lagi datang berteduh dan membuang najis di pasar ini,” tambahnya lagi kepada Sinar Harian.

Dia turut menyatakan bahawa pihak peniaga telah membuat aduan terhadap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) namun tiada tindakan telah diambil oleh pihak MBKT.

Diharap pihak berkuasa dapat menangani isu ini dengan cepat supaya peniaga dapat berniaga secara tenang dan bersih seperti sediakala.

Jangan lupa untuk ikuti kami di Facebook dan Instagram

Lepas Daki Bukit, Terus Pekena Ramen Pedas!